Saat mentari terbit, aku sudah berada di stesen bas yang akan membawa aku ke Ibu Kota. Aku akan menaiki bas Transnasional yang bernombor T818. Aku menunggu dengan penuh kesabaran. Itu adalah pengalaman pertama aku pergi merantau ke ibu kota. Apalagi bersendirian. Pelbagai perasaan yang bermain di hati.
Bas yang akan aku naiki akan bertolak pada pukul sembilan pagi. Aku menunggu dengan penuh kesabaran. Tepat pukul 9.30 pagi datang sebuah bas Transnasional dua tingkat yang akan menuju ke Kuala Lumpur. Namun aku membiarkan sahaja bas itu berlalu pergi, tanpa ada sedikit pun perasaan yang mengatakan bahawa itu adalah bas yang akan aku naiki.
Mataku mengekori sahaja bas itu berlalu pergi sehingga hilang dari pandangan. Hatiku terpalit sedikit perasaan resah. Aku kembali duduk dan menyambung semula bersembang dengan sahabat seperjuangan. Keceriaan di wajahnya membuatkan keresahan ku pulih. Aku kembali tenang.
Beberapa minit kemudian sebuah bas Budaya berhenti betul-betul di hadapan ku. Bas budaya itu juga akan menuju ke Kuala Lumpur. Namun itu bukanlah bas yang ku tunggu-tunggu.
Jam ditangan sudah menunjukkan pukul 10.45 pagi. Maknanya aku sudah menunggu selama satu jam setengah. Hati ku mula resah kembali. Aku seakan-akan sudah boleh menjangka aku sudah tercicir bas.
Selang beberapa saat kemudian aku mendail nombor kakak ku yang sedang menanti kedatanganku di sana. Aku menjelaskan perkara yang berlaku. Air mata ku hampir mengalir. Aku panik. Kakak ku kemudiannya menelefon syarikat bas. Ternyata jangkaan ku tepat. Aku adalah penumpang yang tercicir dari bas Trans yang mula-mula sampai di stesyen tempat aku menuggu. Sedih dan bungkam.
Tanpa menunggu lama aku menelefon ibuku untuk mengadu tentang hal ini. Ibu menyuruh aku bersabar. Hampir sahaja air mataku mengalir, bila ibu mengeluarkan kata-kata semangat untuk aku. Lama aku tidak melihat muka ibu. Saat itu aku merasa betapa tidak adilnya aku kepada keluarga. Selama hayatku, jarang sekali aku menghabiskan masa yang lama bersama mereka.
Aku berjalan longlai pulang ke asrama. Hati menjerit minta mata mengeluarkan airnya. Namun semua itu ku tahan. Ini pasti ujian Allah untukku. Aku bermuhasabah sebentar berfikir apakah punca terjadi nya perkara ini.
Aku seperti di beritahu akan puncanya bila terngiang-ngiang ayat yang pernah ku baca, yang aku pun tak tahu bila dan di mana.
“syurga di bawah tapak kaki ibu.”
“berbohong bukan satu cara yang boleh menyelesaikan masalah.”
Aku kembali berfikir kaitan ayat tersebut dengan perbuatan ku. Akhirnya Allah tunjukkan juga padaku. Inilah akibat bila berbohong kepada orang tua. Disebabkan ingin sangat ke Ibu Kota, aku telah menipu ibu dan ibu saudara ku sendiri. Aku katakan pada mereka aku akan bertolak bersama seorang sahabat sedangkan aku akan pergi bersendirian tanpa ada yang menemani.
Aku merasakan diri ini amat lemah dan kerdil. Alhamdulillah ibu sudah tahu akan perkara ini. Adakah keampunan ku akan diterima oleh Allah? Aku bersyukur pada Allah kerana memberikan natijah padaku secepat itu.
Namun aku masih memerlukan sesuatu yang boleh mengembalikan semangat ku untuk aku terus berdiri dan berhadapan dengan hari esok.
:: flower passion
11 tahun yang lalu
0 Responses to "NATIJAH HARI SEMALAM"
Leave a Reply